Utuslah Saya

Saya menganggap itu suatu keistimewaan, satu penghormatan, dan satu tanggungjawab yang menggembirakan untuk berhenti sejenak dan menaikkan keperluan di hadapan takhta Allah, meminta-Nya untuk berbelas kasihan, untuk bergerak, untuk memimpin, untuk memberi, untuk bertindak, untuk melakukan mukjizat untuk orang yang saya kenali dan kasihi. Setiap minggu seseorang meminta agar Allah menyembuhkan orang yang dikasihi daripada kanser, membantu jiran mendapatkan pekerjaan, atau memulihkan perkahwinan yang rosak. Pelajar memohon doa untuk diterima oleh kolej pilihan mereka, untuk bantuan membayar yuran pengajian, atau untuk penghiburan daripada luka kerana penceraian ibu bapa. Sesetengah orang berdoa untuk pasangan mereka. Yang lain meminta bantuan untuk mengampunkan orang yang telah menyinggung perasaan mereka. 

Walaupun permintaan tersebut berbeza-beza, mereka meminta Allah untuk melakukan sesuatu untuk mereka atau orang yang dikasihi. Allah, tolonglah saya. Allah, tolonglah orang yang saya kasihi. Tuhan, saya memerlukan…. Bapa, bolehkah…? 

Allah, lakukan sesuatu untuk saya

Dengarlah saya…kita harus berdoa seperti ini. Kita harus sentiasa menjemput hadirat Allah, kuasa Allah, kedamaian Allah untuk campur tangan dalam kehidupan kita. Kita harus meminta Allah untuk melakukan mukjizat bagi pihak kita. Kita harus mengangkat orang yang dikasihi dan mengingatkan diri tentang cara Allah boleh bergerak dalam kehidupan kita. Kita harus mencari Tuhan bagi semua keperluan kita.

Namun, kita tidak harus berhenti di sana.

Bagaimana kalau daripada meminta Allah untuk melakukan sesuatu untuk kita sahaja, kita mengucapkan doa ketersediaan yang berbahaya dan menafikan diri kepada Bapa syurgawi kita?

Bagaimana kalau kita mengucapkan doa yang paling berbahaya?

“Utuslah saya, Tuhan. Gunalah saya.”

Yesaya mengucapkan doa ketersediaan sepenuhnya seperti itu dalam hadirat Allah. Nabi Perjanjian Lama ini mengisahkan semula pertemuannya dengan Tuhan yang Suci apabila Allah bertanya, “Siapakah yang akan Kuutus? Siapa akan menjadi utusan kita?” (Yes 6:8a) Tanpa mengetahui perinciannya, tanpa mengetahui bila atau ke mana, Yesaya mengucapkan doa yang mengubah kehidupan dan menggamamkan ini: “Inilah aku. Utuslah aku!” (Yes 6:8b).

Perhatikan bahawa Yesaya tidak meminta sebarang maklumat tambahan. Ia tidak menanya Allah tentang tempatnya. Atau masanya. Atau apa yang akan berlaku. Inilah sebabnya mengapa doa ini rasa sangat berbahaya. “Allah, utuslah saya. Gunalah saya. Saya tidak meminta perinciannya. Saya tidak perlu mengetahui manfaatnya. Atau sama ada tugas ini adalah mudah. Atau sama ada saya akan berseronok. Kerana siapa Engkau—Allah saya, Raja saya, Penyelamat saya—saya mempercayai-Mu. Disebabkan Engkau berdaulat terhadap alam semesta, saya menyerahkan kehendak saya kepada-Mu, setiap bahagian saya. Ambillah minda saya, mata saya, mulut saya, telinga saya, hati saya, tangan saya, dan kaki saya dan pimpinlah saya ke arah kehendak-Mu. Saya mempercayai-Mu. Allah, jawapan saya ialah ya. Sekarang ini, apakah soalannya?”

Bayangkan anda berdoa seperti itu. Adakah anda bosan dengan doa yang berhati-hati? Adakah anda bosan hidup untuk hal yang tidak penting? Adakah anda benci akan keKristianan separuh hati yang suam-suam kuku? Jika ya, ucapkanlah doa yang berbahaya ini.

Inilah saya, Tuhan.

Utuslah saya.

One thought on “Utuslah Saya

Leave a comment